Thursday, October 15, 2009

Ensembel Gendang 24 Musim

Pengenalan


Ensembel Gendang 24 musim diasaskan oleh seorang guru muzik Encik Chen Wei Chong di Johor Bahru, Johor pada 12 Jun 1988.
Ensembel ini terdiri daripada 24 buah gendang besar yang diimport atau dibeli dari negara China. Ensembel ini dinamakan Gendang 24 Musim kerana setiap gendang besar ini dinamakan berasaskan satu musim pertanian di negara China. Nama musim itu ditulis pada gendang dengan kaligrafi Cina.
Dalam kalendar Cina, setiap musim besar (musim bunga, musim panas, musim gugur dan musim dingin) dibahagikan kepada 6 musim kecil. Oleh itu, dalam satu tahun kalendar Cina terdapat 24 musim kecil. Musim kecil ini ada kaitan dengan jadual pekerjaan petani di negara China. Mengikut kalendar Cina, petani akan tahu masa mereka patut membajak tanah, menyemai, menuai dan aktiviti-aktiviti pertanian yang lain. Koreografi pergerakan pemuzik juga mengikut aksi aktiviti-aktiviti pertanian dan mempamerkan suasana meriah.
Gaya persembahan
Semasa persembahan, pemain dram akan memakai kostum tradisional lelaki Cina. Mereka juga menggunakan prop lain seperti topeng, bendera berwarna-warni dan kain panjang berwarna.
Persembahan ensembel ini tidak terhad kepada perayaan besar kaum Cina sahaja, malahan turut dipersembahkan dalam majlis-majlis rasmi kerajaan.
Alat Muzik
Alat muzik yang digunakan dalam persembahan ini ialah 24 buah gendang shigu, iaitu dram tarian singa. Terdapat juga pasukan yang menggunakan gendang longgu. Kedua-dua buah gendang ini hampir sama dan merupakan gendang besar berbentuk tong. Gendang ini mempunyai satu muka kulit kerbau atau lembu pada bahagian atas yang dipaku pada bahan kayu dengan paku besi.
Di dalam gendang ini terdapat beberapa dawai besi seperti spring yang memberikan warna ton istimewa. Gendang ini diletakkan di atas rak kayu berkaki empat. Muka kulit gendang dipukul dengan menggunakan dua pemukul kayu.

Artikel disumbangkan Oleh:
Amir Hamzah, Jerantut, Pahang
013-9822417
Rujukan tambahan sila klik laman web Sistem Daftar Warisan dan Blog Gendang 24 Musim Malaysia

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Social Blog Badge

Followers

MUZIK MALAYSIA UNTUK IPGM Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template