Dipetik dari Berita Harian Online
Gamelan mula diperkenalkan di Pahang
Oleh Suzan Ahmad
TAHUKAH anda, muzik Gamelan adalah himpunan alat muzik yang biasanya menonjolkan metalofon, gambang, gendang dan gong. Orkes gamelan kebanyakan terdapat di kepulauan Jawa, Madura, Bali dan Lombok di Indonesia dalam pelbagai jenis ukuran dan bentuk yang dipanggil ensembel. Di Bali dan Lombok hari ini, selain di Jawa pada lewat abad ke-18, istilah gong lebih dianggap sinonim dengan gamelan.
Perkataan gamelan berasal daripada perkataan Jawa iaitu gamel, bermaksud memukul ataupun tukul. Gamelan Pahang diperkenalkan ke Pahang ketika pemerintahan Sultan Ahmad Muadzam Shah. Tengku Ampuan iaitu Wan Fatimah meningkatkan muzik gamelan dan diikuti isteri kedua sultan, iaitu Che Bedah. Puteri mereka iaitu Tengku Ampuan Mariam berkahwin dengan Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah pada 1913, dan telah membawa gamelan ke Terengganu.
Pada 1914, apabila Sultan Ahmad Mangkat, isterinya Cik Zubedah berangkat ke Terengganu untuk tinggal bersama puterinya, Tengku Ampuan Mariam di istana. Tengku Ampuan Mariam amat meminati gamelan. Pada 1915, set peralatan gamelan di bawah jagaannya di Pahang dibawa ke Istana Maziah Terengganu dan melatih pemuda-pemudi Terengganu untuk bermain dan menari dengan iringan gamelan.
Pada 1920, selepas Sultan Sulaiman dimahkotakan, usaha dipergiatkan dengan membawa bekas penari Pahang, Yang Khoja dan Cik Meriam melatih penari Terengganu dan dinaungi Tengku Ampuan Mariam sendiri Demikian pula, Wan Mohd dan Wan Ahmad dan Ahin, bekas pemain muzik Pahang bersama melatih kumpulan Terengganu yang dikelolakan Sultan Sulaiman.
Sehingga 1936, Sultan dan permaisuri berjaya memiliki set sendiri. Pelbagai lagu dan tarian dicipta termasuk lambang sari, geliung, ketam renjong, togok, gagak seteru, lancang kuning dan sebagainya. Tengku Ampuan Mariam menulis manuskrip mengenai tarian sementara Sultan Sulaiman bertanggungjawab menukarkan nama Joget Pahang kepada Joget Gamelan Terengganu.
Bagaimanapun gamelan Terengganu mengalami kejatuhan pada zaman penaklukan Jepun sekitar 1941 dan kemangkatan Sultan Sulaiman pada 1942. Tengku Mariam berpindah ke Istana Kolam dengan membawa set gamelan bersama dua bekas penarinya, Cik Adnan Abdul. Set gamelan dikembalikan ke Pahang pada 1973 setelah berlakunya tawar-menawar yang tidak menyenangkan antara kerajaan Pahang dan Terengganu. Set Gamelan itu dianugerahkan kepada Muzium Pahang di Pekan dan kini dipamerkan.
Muzik gamelan biasanya dimainkan pada majlis rasmi atau kasual di istana terutama mengiringi joget Pahang. Pemuzik gamelan membabitkan sembilan lelaki dan enam penari wanita. Alatan muzik yang digunakan ialah Gong Agong, Gong Sawokan, Gendang Ibu, Gendang Anak, Saron Pekin, Saron Baron I dan Saron Baron II, Gambang serta Kenong.
Tuning dan pembuatan orkes gamelan adalah suatu proses rumit. Gamelan menggunakan empat sistem tuning - sléndro, pélog, degung (khusus daerah Sunda, atau Jawa Barat) dan madenda (juga dikenali sebagai diatonis, sama seperti skala minor asli yang banyak dipakai di Eropah.
Jenis gamelan antaranya Gamelan Jawa, Gamelan Bali, Gamelan Sunda, Gamelan Banyuwangi, Gambang Kromong dan Gamelan Amerika (American Gamelan).
Hello world!
1 year ago
0 comments:
Post a Comment