Monday, October 19, 2009

Evolusi Muzik Etnik Malaysia

Evolusi muzik etnik Malaysia

Oleh Bennie Zie Fauzi
bennie@bharian.com.my

Pameran Muzium Negara singkap peranan muzik satukan masyarakat

MUZIK sememangnya berpengaruh besar dalam kehidupan. Kehebatan muzik menerusi iramanya yang mesra dan syahdu, dapat menerobos sempadan bangsa, budaya dan bahasa. Malah tidak salah untuk dikatakan muzik sudah lama menjadi medium atau perantara berkesan menyatupadukan masyarakat di seluruh dunia.

Memahami muzik berupaya membentuk sahsiah dan membina personaliti, Muzium Negara menganjurkan Pameran Alat Muzik Tradisional Masyarakat Malaysia untuk dihayati pelbagai lapisan masyarakat khususnya pencinta muzik.

Menerusi pameran sembilan hari berakhir baru-baru ini, evolusi alat muzik di negara ini dipersembahkan kepada umum bagi menghayati asal-usul penciptaan alat muzik, matlamat, pengaruh serta kepada latar adat dan budaya masyarakat berbilang kaum.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Ibrahim Ismail, berkata pameran yang pertama kali diadakan itu bukan sekadar memaparkan koleksi alat muzik tempatan, tetapi turut menterjemahkan konsep 1Malaysia yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, muzik merentasi adat dan budaya selain menggambarkan kepelbagaian masyarakat di negara ini seperti Melayu, Cina, India termasuk etnik orang Asli dan pribumi Sabah dan Sarawak.

Engkeromong tergolong dalam kumpulan alat muzik idiofon.

“Sehubungan itu, sejumlah 96 artifak yang dipamerkan mencerminkan etnik utama negara kita. Pengunjung bukan saja didedahkan dengan pengetahuan dan maklumat terperinci mengenai alat muzik berkenaan tetapi juga melihat secara dekat bagaimana bentuk, saiz dan seni ukiran yang tertera di badannya.

“Pengunjung juga mendapat ilmu mengenai setiap komponen yang membentuk alat muzik itu. Misalnya, jenis dan rupa tali dalam peralatan muzik yang dimainkan sama ada secara digesek atau dipetik selain reka bentuk gendang tabuh, gambus serta tabla” katanya.

Semua peralatan muzik dipamerkan sememangnya ada dalam koleksi muzium. Biarpun pamerannya cuma sembilan hari, tetapi tugasan seperti kerja penyelidikan dan persiapannya memakan masa kira-kira tiga bulan.

Umumnya, kata Ibrahim, penciptaan alat muzik diilhamkan melalui pemerhatian terhadap alam sebelum ia dieksploitasi menjadi alat muzik. Bahan semula jadi seperti buluh, batu, tumbuh-tumbuhan dan anggota haiwan, misalnya tanduk dan tulang dibentuk menjadi peralatan bunyi-bunyian.

Kertuk digunakan sebagai perantaraan tarian rakyat yang bersifat kontemporari.
Bermula daripada gerakan mudah seperti tepukan tangan, hentakan kaki, siulan, ketukan kayu dan sebagainya, alat muzik mengalami evolusi sehingga ke tahap kompleks dan kompetitif.

Namun, kebanyakan alat muzik tradisional negara ini dikatakan menerima banyak pengaruh luar kesan pertembungan budaya era zaman perdagangan dan penjajahan lampau. Maka, tidak hairan wujud selingan nada dan unsur Asia Barat, India, China dan Eropah setiap kali instrumen muzik dimainkan.

Fenomena ini selanjutnya melahirkan alat muzik sinkretik, hasil kepintaran menjalinkan unsur luar yang difikirkan sesuai selain menjadikan merdu kelompok muzik istana dan rakyat. Proses asimilasi budaya ini kemudian sebati dan diterima sebahagian kebudayaan tempatan.

Alat muzik gendang dan serunai yang mengutarakan unsur pengaruh Hindu, manakala gambus yang menyelitkan bunyian Timur Tengah antara contoh berlakunya penyusupan budaya.

Kepelbagaian alat muzik tradisional daripada asal-usul berbeza menggambarkan kemeriahan khazanah seni. Kewujudan alat muzik yang diserap masuk dari Timur Tengah, China, India malah rumpun dunia Melayu sendiri tidak melenyapkan pengasingan identiti serta sempadan budayanya.

Dalam sekian banyak peralatan muzik, hanya gendang bersifat sejagat kerana hampir semua kaum di dunia menggunakannya dalam persembahan kebudayaan mereka. Ia secara tidak langsung dianggap simbolik kepada jalinan persahabatan yang utuh di kalangan masyarakat berbilang kaum.

Selain menjadi halwa telinga, wujud falsafah kepercayaan tertentu yang dikaitkan dengan muzik. Alat muzik seperti tetawak dan gong mempunyai konotasi yang mengaitkannya boleh membangkitkan nafsu, roh dan semangat.

Rebab pula dikaitkan dengan gerak hati manusia untuk membetulkan kesilapan berpunca daripada hati serta niat serong. Canang dan kesi pula menekankan paluan hati dan nadi manusia perlu digerakkan selaras nafsu serta degup jantung. Gendang pula menekankan denyutan jantung manusia harus seiring dengan pembuluh darah bagi mewujudkan pengaliran darah yang betul.

Hakikatnya, evolusi dan gabung jalin alat muzik membuka peluang dan ruang masyarakat tempatan mengalunkan irama melangkaui teras budaya yang didendangkan rebab, sompoton, erh hu dan tabla. Menerusi jalinan irama inilah, ia tidak hanya menenangkan jiwa, tetapi paling penting dapat menyatupadukan pelbagai bangsa dan etnik Malaysia seperti yang diteraskan menerusi konsep 1Malaysia.

Info: Alat muzik tradisional


  • Membranofon - Alat muzik gendang dan paluan yang dihasilkan menerusi kayu dan tulang belulang binatang. Dibahagikan kepada dua jenis iaitu gendang satu muka serta dua makan, ia digunakan secara meluas di dalam persembahan kebudayaan dan teater tradisional. Rebana, kompang, beduk, gedombak dan kempelingan adalah contoh gendang satu muka sementara jenis dua muka menyenaraikan geduk, jidur, maruas, ku yang popular di kalangan masyarakat Cina serta thavil dan mrindanga bagi kaum India.




  • Kordofon - Alat muzik bertali yang dimainkan secara digesek dan dipetik. Teknik gesekan dipercayai diperkenalkan masyarakat nomad yang mendiami kawasan lapang utara Kirghiz, Kazakh dan Mongolia. Alat muzik tempatan di bawah kelompok ini termasuk rebab, sape, kecapi, gambus, er hu, sitar dan sebagainya.




  • Idiofon - Alat muzik yang menghasilkan bunyi melalui anggota badan. Kebanyakannya diperbuat daripada bahan logam seperti gangsa selebihnya kayu serta buluh. Ia dimainkan secara diketuk sehingga bunyi dan gema diperdengarkan. Gong, canang, caklempong, saron, angklung, kertuk dan gambang buluh antara contoh alat muziknya.




  • Erofon adalah alat muzik jenis tiup. Ia dipercayai digunakan oleh pendeta Hindu ketika menyebarkan agama mereka di rantau ini. Alat muzik Erofon termasuk seruling, serunai, tetuang, nafiri, sompoton dan engkerurai namun serunai dikatakan berasal dari Parsi berdasarkan perkataan Parsi ‘Nay’ yang membawa maksud tiup.


  • 0 comments:

    Post a Comment

    Related Posts with Thumbnails
     

    Social Blog Badge

    Followers

    MUZIK MALAYSIA UNTUK IPGM Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template