Pesta San Pedro kaum Portugis: Artikel Dipetik Dari Utusan Melayu
|
|
MELAKA 8 Julai - Populariti masyarakat minoriti Portugis di Ujong Pasir, di sini, sememangnya telah lama diketahui umum, kemasyhuran kaum itu bukan sahaja kerap disebut penduduk tempatan malah dikenali pelancong luar negara.
Ini kerana, masyarakat Portugis mempunyai latar belakang kebudayaan dan identiti tersendiri.
Ia secara tidak langsung menarik minat kaum lain untuk mengkaji kewujudan serta keistimewaan masyarakat Portugis yang wujud di Melaka sejak penjajahan Portugis ke atas negeri Hang Tuah ini pada tahun 1511.
Selain loghatnya yang asing, kaum ini juga hebat dalam membuat persembahan tarian dan nyanyian malah ia sering menjadi hiburan rasmi kerajaan negeri dalam sebarang bentuk program tempatan mahupun di luar negara.
Tidak hairanlah kerana keunikannya, Kampung Portugis dekat sini sering menjadi perhatian pelancong tempatan dan luar negara.
Bagi pelancong dari luar seperti Jerman, Amerika Syarikat, Belanda, Belgium dan England, berkunjung ke Melaka pastinya Kampung Portugis menjadi salah satu destinasi kunjungan mereka.
Bulan Julai adalah tarikh yang terus menjadi ingatan kepada pelancong untuk melihat dan merasai Pesta San Pedro atau dikenali sebagai Hari Nelayan yang diadakan setiap tahun.
Pesta itu diraikan selama seminggu setiap kali menjelangnya akhir bulan Jun setiap tahun.
Pesta ini mula disambut di Melaka pada tahun 1994 dan dijadikan pesta tradisi di mana sepanjang seminggu pesta ini disambut, semua bot nelayan kaum Portugis di kampung itu akan dihias indah.
Sepanjang seminggu pesta berlangsung, segala jenis makanan tradisi kaum itu juga akan disajikan kepada tetamu sambil dihiburkan dengan nyanyian dan persembahan.
Lebih menarik tarian kebudayaan dan nyanyian dari kaum Portugis sendiri diserikan dengan kumpulan muzik yang diundang dari luar Melaka.
Mereka yang pernah bertandang ke kampung ini pasti dihiburkan dengan lagu kegemaran masyarakat Portugis iaitu Kon binhu na mang, mas forsa bala yang bermaksud 'dengan segelas wain di tangan tarian akan menjadi lebih menarik'.
Bagi penduduk Portugis sendiri, Pesta San Pedro bukan sahaja mampu meningkatkan populariti kampung itu malah memberi pendapatan tambahan kepada penduduk sendiri.
Menurut Maureen De Roche, 36, satu ketika dulu, Pesta San Pedro semakin dilupakan oleh generasi muda kaum itu namun hasil komitmen kumpulan masyarakat terdahulu, akhirnya pesta itu berjaya dipopularkan semula.
Pada hari ini, katanya, Pesta San Pedro semakin popular dan menjadi acara hiburan tahunan kerajaan negeri malah turut mendapat tumpuan kerajaan pusat.
''Sebagai anak jati kampung ini, saya bangga dilahirkan di perkampungan Portugis, saya bangga dengan perubahan wajah kampung ini yang sentiasa maju dengan pembangunannya setiap tahun.
''Paling membanggakan, perubahan yang dibuat langsung tidak mengubah identiti penduduk Portugis," katanya.
Bagi Kimberly Caroline, 15, walaupun dia merupakan generasi baru Portugis di kampung tersebut tetapi dia tidak pernah merasa bosan untuk mempelajari asal usul nenek moyangnya di kampung itu.
''Sebelum ini saya agak pelik melihat ramai pelancong asing malah di kalangan orang Melayu, Cina dan India datang ke kampung saya semata-mata ingin mempelajari tentang budaya masyarakat Portugis," katanya.
Beliau berkata, lama kelamaan perasaan aneh itu hilang dan digantikan dengan rasa bangga kerana kebudayaan nenek moyangnya itu diminati oleh pelbagai lapisan masyarakat dan pelancong luar negara.
Bagi Gloria John, 26, selama seminggu, penduduk di situ berpesta dan sepanjang ia berlangsung, nama Kampung Portgis sering terukir di bibir masyarakat luar.
''Bayangkan, saya bekerja di Petaling Jaya, Selangor dan jarang balik ke kampung (Ujong Pasir), namun setiap kali bulan Jun, pasti ada rakan kerja lain sibuk mengingatkan saya mengenai Pesta San Pedro berbanding musim pesta Krismas," katanya.
0 comments:
Post a Comment